KANU REKREASI
Sukan kanu rekreasi telah lama bertapak di Malaysia dipersekitaran tahun 1960an dengan membuat kayak menggunakan kanvas dan kerangka kayu. Mereka membuat kayak atas minat dan kesungguhan berekreasi.
Tidak lama kemudian kayak fiberglass mula diperkenalkan. Ini menjadikan sukan kanu berkembang, walaupun perlahan tetapi semakin diminati. Banyak ekspedisi pada tahun 1980an menggunakan kayak fiberglass. Antaranya ialah ekspedisi Nusantara oleh Persatuan Rekreasi Wilayah Persekutuan (PERWIP) dan kemudiannya oleh Persatuan Kenu Kuala Lumpur (KLCA).
Kayak buatan plastik mula diperkenalkan di tahun 70an di Amerika Syarikat oleh Bill Masters dengan jenama Perception. Ianya mendapat sambutan yang hangat dari kalangan peminat sukan kayak arus deras kerana bahan plastik yang jauh lebih tahan apabila melalui jeram berbanding dengan bahan buatan komposit. Hanya pada awal penghujung tahun 1980an kayak dan kanu plastik ini mula ada di pasaran Malaysia. Jenama awal yang mamasuki Malaysia ketika itu ialah kayak Perception dan kanu Coleman.
Kayak sit-on-top (SOT) mula diperkenalkan oleh Ocean Kayak pada pertengahan tahun 1980an. Kayak SOT ini pada peringkat awalnya hanya digunakan di bahagian rekreasi hotel dan resort. Kini penggunaan kayak SOT ini semakin meluas terutamanya di dalam industri kayak memancing.