PKP: ANTARA CABARAN DAN KESAN KEPADA SUKAN WILAYAH
Tajuk Berita: PKP: Antara cabaran dan kesan kepada sukan Wilayah
Media: WilayahKu
Tarikh: 17hb. – 19hb. FEBRUARI 2021
Mukasurat: 15
Wartawan: AINI MAWAWI
ANGKA jangkitan serta korban COVID-19 semakin menggerunkan. Malah kehadiran virus yang mengancam nyawa ini juga telah memberi kesan terhadap semua sektor tidak terkecuali sukan.
Justeru, bagi mengekang penularannya, pihak kerajaan terpaksa menjalankan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus menyaksikan aktiviti sukan terpaksa dihentikan sebelum ini.
Pun begitu, apabila aktiviti sukan (tidak bersentuhan) dibenarkan beroperasi semula baru-baru ini, banyak pihak yang menarik nafas lega. Ironinya, di sebalik kebenaran tersebut, tidak dinafikan impaknya masih tetap dirasai oleh pihak yang terlibat.
Bagi merungkai persoalan, Wilayahku sempat menemu bual Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Dr. Hasnul Faizal Hushin Amri.
WILAYAHKU: Cabaran bagi MSWP apabila acara sukan dihentikan baru-baru ini?
HASNUL: “Program latihan yang telah dirancang terganggu dan tidak dapat diteruskan. Ini secara tidak langsung menjejaskan prestasi dan persiapan para atlet menghadapi kejohanan besar peringkat negeri Sukan Malaysia (SUKMA).
“Ketiadaan kejohanan tempatan dan kebangsaan yang dianjurkan menyukarkan untuk membuat penilaian terhadap prestasi pasukan dan atlet bagi setiap sukan yang bakal disertai di SUKMA.
“Malah pemantauan terus secara bersemuka oleh jurulatih juga tidak dapat dilaksanakan bagi memberi nasihat berkaitan kesalahan dan menambah baik kemahiran dan teknikal. Lazimnya jurulatih sentiasa berkomunikasi membuat teguran secara terus semasa latihan di lapangan.
WILAYAHKU: Bagaimana pula dengan atlet, adakah mereka dapat menerima keadaan tersebut?
HASNUL: “Dari aspek psikologi atlet, ada dalam kalangan mereka yang berasa kecewa kerana setelah sekian lama berlatih, mereka tidak dapat menunjukkan prestasi mereka yang sebenar di SUKMA yang telah ditangguhkan sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada Julai 2020 dan Mac 2021.
“Ketiadaan latihan intensif dan berterusan memberikan kesan kepada tahap kecergasan dan keadaan fizikal atlet. Ada di antara mereka mengalami pertambahan berat badan akibat kurangnya latihan yang fokus kepada setiap keperluan fizikal walaupun latihan dibuat secara dalam talian setiap minggu.
WILAYAHKU: Perkembangan pusat latihan sukan berpusat MSWP.
HASNUL: “Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada akhir tahun 2020 MSWP telah melaksanakan program latihan berpusat secara Quarantine Based Approach (QBA) menggunakan kaedah yang diguna pakai oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN).
“Program ini merupakan satu projek rintis menilai keberkesanan dan ujilari konsep QBA untuk pasukan Wilayah Persekutuan. Pengalaman yang diperolehi dari projek rintis KLAS (Kem Latihan Atlet SUKMA 2020) dijadikan panduan untuk perancangan persediaan SUKMA 2022.
“Bagi memastikan kesinambungan program Persediaan Atlet SUKMA Wilayah Persekutuan dijalankan secara berterusan, MSWP sedang merancang untuk menyediakan fasiliti latihan yang boleh dijalankan secara QBA.
“Fasiliti latihan yang dirancang ini bakal mempunyai asrama atlet, gym, ruang makan, ruang rawatan, padang dan gelanggang latihan. Perancangan penyediaan kemudahan ini akan memberi manfaat kepada 700 atlet dan 88 orang jurulatih Wilayah Persekutuan.
WILAYAHKU: Kejohanan terkini yang bakal berlangsung anjuran MSWP.
HASNUL: “Sebenarnya berdasarkan Takwim Program MSWP pelbagai program utama sudah dijadualkan untuk mengisi kalendar aktiviti sepanjang 2021. Antara program utama yang dirancang Seperti Sukan Antara Parlimen, Karnival Sukan Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Sukan Wilayah Persekutuan.
Buat uat masa ini, MSWP akan terus melihat kepada perkembangan dan arahan kerajaan dari semasa ke semasa. Jika keadaan membenarkan kita akan mula menggerakkan semula beberapa program.
WILAYAHKU: Apa harapan Dr. pada arena sukan dalam situasi yang mencabar ini.
HASNUL: “Saya berharap wabak ini akan berakhir dan kita rakyat Malaysia dapat kembali kepada kehidupan normal tanpa ada sekatan untuk bersukan.
“Dalam pada itu, saya juga berharap semua pemegang taruh seperti MSN, Majlis Sukan Negeri-Negeri dan Persatuan Sukan Negeri dan Kebangsaan dapat bersama-sama memikirkan kaedah terbaik bagi meletakkan sukan kekal menjadi budaya kepada rakyat Malaysia dan dalam masa sama membantu kerajaan memerangi COVID-19.
“Saya optimis Malaysia akan kembali dipenuhi dengan aktiviti sukan sama ada sukan prestasi tinggi atau sukan massa mengambil kira usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Nota: Keratan akhbar ini adalah hak milik akhbar “WilayahKu“